Dec 30, 2009

Melihat dari mata anak..



Pernahkah kita melihat dunia ini dari pandangan matanya? Melihat betapa dunia seakan mengharapkan sesuatu dari tubuh kecil itu. Kita seringkali mahu melihat dunia dari mata kita. Tapi kita lupa bahawa anak kita itu melihat dunia dari pandangan yang berlainan.

"Bilakah dia akan duduk?"

"Bilakah dia akan merangkak?"

"Bilakah dia akan berdiri seterusnya berjalan?"

Besar harapan mereka terhadapmu, anak. Mereka gembira bila kamu mencapai sesuatu dan tertanya secara terang mahu pun tersembunyi bila pula kamu akan mencapai sesuatu yang lainnya. Jika pandai mengiring, bila mahu meniarap. Jika pandai meniarap, bila mahu merangkak. Malah jika dah pandai berjalan dan membaca nanti, soalan lain tetap akan ditanya.

Mungkin juga ada yang mencebik, "Alah... masih terbaring lagi?". "Oh.. tergolek je la". Sedangkan mereka tidak mengetahui dan mungkin tidak akan mampu melalui apa yang telah dan sedang kamu lalui. Harapan berserta doa tidak mengapa. Tapi harapan yang bersulamkan keinginan mahu membanding itulah yang perlu dijauhi. Anak ini tidak akan sama dengan anak lain.

Manusia... barang pasti tidak akan pernah puas dengan keadaan dirinya. Malah dengan keadaan orang lain juga. Manusia perlu sering kembali kepada fitrah. Malah perlu mengetahui bahawa setiap manusia itu didatangkan dengan misi khas, walau apa pun caranya. Walau dalam keadaan istimewa. Walau dalam keadaan terlentang, meniarap, merangkak mahu pun berdiri serta berlari. Misi khas ini tujuannya tidak lain adalah untuk memberikan peringatan pada yang lalai dan agar kembali kepadaNya.

Suatu hari jika kamu membaca coretan ini, fahamilah wahai anak bahawa ibu akan sentiasa menyokong kamu walau bagaimana pun keadaan kamu. Bahawa ibu sentiasa meletakkan diri ibu di dalam diri kamu. Akan sentiasa cuba memahami apa yang telah, sedang dan benda baru yang akan kamu lalui sungguh pun ia akan mengambil masa untuk direalisasikan. Sungguh pun masa depan tidak diketahui, ibu sentiasa di sini untuk kamu, oh anak! You're who you're.

Oh.. catatan ini tiada kena-mengena dengan yang masih hidup atau pun yang telah meninggal dunia.







LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin