Oct 26, 2009

Pengalaman menjaga orang berpantang dan ahli keluarga baru

Semalam ketika kami memenuhi jemputan majlis marhaban dan cukur jambul anak kawan suami, kami didatangi dengan satu sms mengatakan bahawa kakak ipar telah pun dibenarkan pulang dari HSB. Ketika itu kami di Pelabuhan Klang. Tidak lama di situ, kami bergegas ke Shah Alam untuk berjumpa dengan Awa. Mastura dan Adam dikirim pulang melaluinya.

Kemudian terus saja kami meluncur laju di lebuhraya dan keluar di persimpangan HSB. Tiba lebih kurang jam 4.15 petang. Hujan lebat. Rupanya waktu lawatan hospital kini telah berubah. Dulu jika hari Ahad waktu lawatannya dari pukul 12 tengahari sehingga ke 7 malam, kini ia sama seperti hari² biasa. Mungkin sebagai satu langkah pencegahan ketika wabak H1N1 masih menular.

Tidak lama selepas itu, biras saya membayar bil dan kami pun pulang. Kakak bersama suaminya. Sementara anaknya yang comel itu, di dalam pangkuan saya.

Sedikit gambar:



Hari pertama. Gambar dari kamera Pak Su Ata.



Dua gambar di atas ini adalah gambar pada hari Sabtu.


InsyaAllah kakak ipar akan menamai anaknya ini dengan nama Adlishah. Dilahirkan pada hari Khamis, 22 Oktober 2009. Berat ketika lahir = 3.96kg. Dilahirkan secara pembedahan atas nasihat pakar kerana pakar bimbang dengan risiko rahim pecah. Sebelum ini, kakak ipar telah melahirkan anak pertama melalui cara yang serupa dalam tempoh setahun lebih ini. Dia juga telah mengalami tumpah darah yang banyak ketika pembedahan kerana luka lama masih belum sembuh sepenuhnya. Dia juga ditahan di hospital lama sedikit bagi tujuan pemindahan darah.

Ketika kami temuinya pada hari Sabtu, keadaannya masih lemah. Pakar perlu mencari IV linenya berkali-kali sehingga habis lebam kedua-dua belah tangannya. Kini dia berpantang di rumah kami sehingga dia betul² kuat untuk pulang ke kampung. Mak mertua yang telah berada di sini dari minggu lepas juga telah pulang ke rumahnya.

Ini adalah suatu pengalaman baru bagi saya yang belum pernah menjaga orang berpantang. Walau pun saya pernah berpantang sendirian tapi ia tidak sama dengan menjaga orang lain. Malam tadi saya ke pasaraya untuk mencari ikan haruan. Balik dari sana terus saja memasak untuk makan hari ini. Pagi tadi awal lagi menyediakan air panas untuk kakak mandi. Seterusnya menyediakan makanan berat untuknya.

Paling teringat adalah malam tadi bila saya perlu menyusukan Adlishah kerana puting susu kakak telah pun melecet. Selesai saja Adlishah mengempeng, dia terus saja tidur. Hanya bangun di tengah malam untuk meminta susu. Itu pun susu dari ibunya. Syafiah pula seakan cemburu. Banyak merengek dan terjaga malam tidak seperti kebiasaannya.







LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin