Adakah Allah swt sering membuatkan anda tersenyum? Di celah² kesakitan yang anda alami, Tuhan sentiasa berlaku adil secara anda sedar atau pun tidak. Dia bertindak secara misteri dan cukup unik. Yang tidak terjangkau dek fikiran dan pandangan mata.
Apakah perasaan anda bila berdepan dengan situasi berikut?:
1- Nak hantar anak ke tadika Q bayaran bulanannya agak mahal kerana ia mungkin saja tadika tersohor. Sekitar RM200/seorang/sebulan. Anda seakan mahu menangis kerana sebelum ini anak anda telah dimasukkan ke sekolah tersebut atas kapasiti anda sebagai salah seorang tenaga pengajar. Anak anda pula sudah biasa dengan keadaan di sekolah. Kemudian anda terpaksa berhenti atas sebab² tertentu. Tidak lama selepas itu seseorang telah menghubungi anda dengan tujuan memujuk agar anak anda terus bersekolah di sana. Tajaan sepenuhnya sepanjang 2 tahun tanpa bayaran bulanan kecuali bayaran ke atas buku, pakaian seragam dan pengangkutan.
2- Anda dan pasangan terbeban dengan komitmen kewangan. Anda dan si dia membeli rumah masing² ketika masih bujang. Si dia juga mempunyai pinjaman kereta. Syarikat kewangan berlesen yang anda pilih juga tidak mengemaskini data anda, yakni alamat anda. Terakhir anda terus saja menerima perkhabaran yang fail anda akan dibawa ke mahkamah. Di waktu yang kritikal itu Tuhan menyentuh anda hanya dengan kehadiran sepucuk surat di kampung yang sebelum ini tidak pernah anda terima. Ajaibnya ibu anda jarang berada di rumah. Kebetulan pula dia berada di rumah kerana ketika itu adalah waktu cuti sekolah. Keadaan kusut itu terlerai dengan perbincangan semula dengan pihak bank yang memberikan kelonggaran untuk anda menstrukturkan semula pinjaman hingga mendapat potongan separuh daripada bayaran bulanan biasa yang anda buat.
3- Anda berangan menggunakan mesin basuh automatik sedangkan mesih basuh anda telah berkhidmat selama 6 tahun. Masih elok. Anda bersabar saja menggunakan apa yang ada. Tiba² dikhabarkan oleh adik anda, tuan rumahnya inginkan rumahnya kembali. Anda memang pernah mengajak adik anda tinggal bersama anda. Lantas dia tanpa lengah berpindah ke rumah anda. Berserta mesin basuh automatik yang anda diizinkan untuk menggunakannya. Suami adik anda bekerja di sebuah pasar borong. Dia pula sentiasa membawa pulang ikan malah sayur ke rumah. Malah yang lebih memudahkan kehidupan anda, sewa rumah kini telah dibahagi dua.
Hasil tangkapan di pasar borong hari ini... 7 ekor ikan mabung terlindung sebalik 6 ekor ikan kerisi. Kadang² bawak balik sampai 20 ekor sekaligus.
Terlalu banyak kurniaan Allah swt yang tak terduga. Sama ada kecil atau besar. Sama ada diperolehi secara mudah atau pun penuh liku. Kadangkala kita sebagai manusia kurang muhasabah tentang apa yang kita dapat berbanding dengan apa yang kita mahu. Bagilah emas intan sebesar gunung pun, namun kita masih belum mampu menahan diri untuk mengimpikan yang lain. Cuba buat seperkara. Ambil pen dan kertas, senaraikan apa yang telah kita dapat pada hari ini. Setelah itu bersyukurlah kepadaNya kerana diberikan nikmat kurnia yang melimpah-ruah dan tidak terhingga. Malah diberikan pula ruang untuk kita sama² meningkatkan amalan dan berkongsi masalah secara tidak langsung.
Kadangkala kita mengeluh.. hish.. time nilah benda ni nak buat hal. Padahal kita tak sedar, dalam rezeki yang kita terima telah ada bahagian² dan peruntukan²nya serta mungkin hak orang lain di dalamnya. Contohnya, kita takkan makan seguni beras tu sendirian sungguhpun wang untuk beli beras tu datang dari kocek kita sendiri.
Orang seringkali bertanya, "Macamana nak maintain satu income? Dengan anak istimewa lagi". Telah hampir 2 tahun saya tidak bekerja (pernah bekerja tapi berhenti sebab Syafiah dimasukkan ke hospital). Saya sendiri tidak tahu bagaimana kami melaluinya. Bagi saya.. ya... Allah sentiasa membuatkan saya tersenyum! Cara dan bagaimana Yang Maha Pemurah menolong kami.. hanya Dia yang tahu..
p/s : Sabar je ni menunggu Syafiah pulang. Masa dia ke HSB tadi Adam belum lagi bangun menyebabkan saya tidak dapat ikut serta. Maafkan ibu, nak. Berkorban lagilah seperti biasa...