Mar 5, 2010

Penawar rindu...

Ada ke yang rindu? Jom kita layan gambar dulu!


Syafiah yang didudukkan di atas kerusi. Masih senget² lagi.






Saya seringkali melewati kafe siber suatu ketika dulu semasa saya menghantar Adam ke sekolahnya setiap hari dengan menunggang basikal. Namun kini tiada lagi. Sejak awal bulan Februari, kami mengambil keputusan untuk mengajarnya berdikari dengan menaiki van sekolah. Dua pengusaha van sekolah dihubungi. Salah seorangnya menetapkan bahawa van akan melewati rumah kami seawal pukul 11 pagi. Sedangkan waktu mula sekolah hanya pada 11.40 pagi. Saya menganggap masa dengan anak² itu begitu 'crucial'. Sangat² penting walau pun untuk tempoh 40 minit!

Pada suatu hari, sewaktu saya mengambil Adam di pagar sekolah saya bertemu dengan kak Kiah, jiran saya, yang juga pengusaha van sekolah. Katanya dia akan mengambil Adam sekitar pukul 11.40 pagi! Tanpa berlengah, saya menyatakan persetujuan. Hari pertama, masam saja wajah anak teruna kami. Dia hampir menangis. Namun hari seterusnya tidak lagi. Dia agak seronok melalui pengalaman baru.

Sejak itu, saya tidak meluangkan masa lagi di kafe siber untuk mengemaskini status FB mahu pun blog. Komputer saya telah lama dihantar ke 'bengkel', namun tidak diambil sehinggakan si pemunya kedai menghantar sms kepada suami saya. Setelah diambil, bila dibuka komputer saya memang elok saja tapi bila ditutup dan mahu dibuka semula, hal yang sama berlaku lagi. Menandakan bahawa HDD komputer saya terlalu uzur keadaannya.

Bila seorang ibu disibukkan dengan tugas harian, lama-kelamaan ia menjadi rutin. Melayari internet bukanlah sesuatu yang mengghairahkan lagi walau pun ada harinya saya menetapkan niat bahawa saya akan meluangkan masa berinternet. Namun bila sampai waktunya, saya terus disibukkan dengan hal rumahtangga. Selalunya saya lebih gemar memasak atau pun meluangkan masa dengan anak² terutamanya dalam hal mendidik mereka. Bermain dan menonton video bersama mereka juga merupakan sesuatu yang membahagiakan.

Pada ketika entry ini ditulis, adik saya kebetulan membawa pulang komputer pejabatnya. Sejak dari pukul 11 pagi sehingga ke petang tadi, bekalan elektrik terputus di pejabatnya menyebabkan dia memohon untuk pulang. Tambah pula dengan cuaca yang panas ketika ini. Pejabat tanpa pendingin hawa bukanlah sesuatu yang menyeronokkan!

Saya cukup bahagia hanya dengan melihat keadaan Syafiah. Walau pun mungkin tak sepesat perkembangan anak lain. Cepat atau lambat perkembangan fizikal itu bukanlah merupakan satu kelebihan mahu pun kekurangan. Cuma belum tiba masanya bak kata suami saya. Mungkin Allah swt mahu menunjukkan sesuatu, cuma sebagai manusia kita tidak mampu mentafsir apa yang Dia rancangkan untuk kita walau pun kita terus berusaha. Mungkin ada yang kurang, mungkin usaha saja tidak mencukupi tanpa yakin sepenuhnya kepadaNya tanpa rasa ragu sedikit pun, wallahu'alam. Dan ya... saya sangat bersetuju dengan apa yang ditulis oleh Ina di sini.

Saya juga cukup bahagia dapat mengajar anak² sendiri. Di sekolah mereka dengan guru mereka. Tapi di rumah, sayalah guru mereka (kecuali untuk pelajaran Iqra'. Iqra' diajar oleh si ayah). Alhamdulillah pada Allah walau pun pada mulanya saya begitu berat hati untuk meninggalkan alam pekerjaan di luar sana. Ibu saya juga seringkali memberikan kata² galakan, "Kalau hang tak ajar anak sendiri, siapa lagi nak ajar? Kalo ada pembantu rumah belum tentu anak² akan dapat belajar macam mana hang ajaq anak hang". Dan kata² dari suami saya lebih mengharukan, "Belajar di IPT tak semestinya untuk berkerja (di pejabat). Belajar wajib untuk kejar ilmu".

Berbalik pada cerita anak saya. Anak saya yang pertama dan kedua rapat jaraknya. Seorang berusia hampir 6 tahun, seorang lagi bakal berusia 5 tahun pada tahun ini. Tapi kedua-duanya tidak bersekolah di sekolah yang sama. Seorang ditempatkan di sekolah yang menekankan penggunaan Bahasa Inggeris. Seorang lagi menekankan aspek keagamaan.

Pada mulanya ada sedikit rasa bersalah pada Adam kerana tidak menempatkan di sekolah yang sama dengan Mastura. Tapi perasaan itu beransur hilang apabila sistem pembelajarannya membuatkan saya dan juga Mastura menimba ilmu baru yang tiada di sekolah Mastura. Di sekolah Mastura, bahagian anggota badan misalnya, diajar dalam Bahasa Inggeris secara am. Namun di sekolah Adam, bahagian anggota badan diajar berpaksikan kepada siapa yang menciptanya. Di dalam Bahasa Malaysia dan juga Bahasa Arab. Jika tangan itu adalah 'hands', 'hands' itu pula diciptakan oleh siapa.

Dan lagi setelah masuk bulan ke-3 Adam di sana, surah al-Fatihah sudah semakin lancar bacaannya. SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahuakbar itu sentiasa dilidahnya. Itu belum lagi diceritakan bab doa, beberapa surah lazim dan pelajaran bahasa Arab. Adam terus mengejutkan kami sekeluarga. Jujurnya, ada ketikanya saya belajar melalui anak² saya. Dan saya tidak malu untuk mengaku bahawa ada istilah² itu yang sangat asing buat saya.

Setiap kali anak saya keluar untuk menuntut ilmu dan selesai solat berjemaah, saya akan mencium pipi² mereka lantas berdoa agar ilmu yang mereka perolehi 'berkat' dan hidup mereka akan sentiasa terus mendapat keredhaan Allah swt. Ketika dan saat itu begitu rasa kesyahduan memandang wajah anak² yang polos.

Inilah saja 'penawar rindu' kali ini untuk tatapan sahabat² yang selalu memberikan galakan dan begitu mengambil berat tentang kami. 5 minggu saya tinggalkan 'rumah' ini tanpa diusik. Sesekali terdetik juga untuk mengubah perabotnya tapi seorang ibu mempunyai misi yang lebih utama yang lainnya. Mungkin keadaan akan berubah setelah kami membeli komputer baru. Segalanya mungkin. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Adakalanya hati terdetik untuk berhenti dan menumpukan sepenuh perhatian untuk rumahtangga dan anak². Tapi dalam masa yang sama, saya juga tidak mampu untuk kehilangan kawan² yang begitu setia mengikuti cerita² kami. Saya mohon maaf seandainya saya tidak dapat melawat blog sahabat² seperti dulu pada ketika ini.








12 comments:

mirah said...

rindu kat syafiah... and k sue juga.
comel syafiah pipi pinkish je.. :)

Naimatul Hafizah Nor Rodin said...

Ya Allah, kak sue...
begitu lama kak sue menyepi. rindu sgt rasanya. pagi ni, fiza buka blog nampak kak sue dah update blog kak sue, dan terus fiza membacanya.
terlalu lama kak sue menyepi.... bulan ni, insya-Allah sofie akan dibedah. doakan fiza ye kak sue....doakan sofie selamat. fiza tak kuat sebenarnya.....

fisa othman said...

fisa setia menanti blog ni d update...ntah laa terasa rindu sgt nk dgr celoteh sue mengenai anak2...

alhamdulillah...moga anak2 sue membesar dan menjadi insan yang berguna...

Anonymous said...

Aaaghhh...comelnya Syafiah.
Semoga Syafiah akan terus tersenyum.
Insyaallah Sue, teruskan berdoa dan berusaha.Satu hari kita akan dapat lihat Syafiah melangkah ke alam persekolahan pula.

./kiss

Jiey^Mien said...

kak sue. jiey adalah sangat jeles!!
dok dgn anak mmg best!!

Confession of a Coffeeholic Mama-Miya said...

nampak chubby skit dah Syafiah..

ieda said...

salam sue..lamanya menunggu cerita baru..makin tembam plk syafiah sekarang yer..senyum dia tu..sweet jer.

bagus jg hantar anak ke sekolah agama sejak kecil..masalah sosial banyak sgt sekarang ni.masa depan nanti tak taulah cmana.

sue79 said...

salam..
dak pia dah boleh duduk kat atas kerusi ye..cayalah pia..
semoga ksue dan anak2 sihat2 selalu..

| Krsty Pinky | said...

dh tembun la sket si piah..
x mcm Mawar..
cumel!!!
anyway,dia dh duduk ye..
good job piah :)

suealeen said...

mirah:
Rindu kat Mirah juga...





Naimatul Hafizah Nor Rodin:
Fiza, akak doakan Sofie selamat menjalani pembedahan. Solat hajat bebanyak k. Sofie pun seperti anak kak Sue juga. Terasa dekat dengannya.

Kita semua tak kuat, Fiza. Yang kuat hanya Allah swt semata-mata.





fisa othman:
Kalau cakap pasal anak ni risau je memanjang. Moga apa yang kita usahakan hari ini dapat keredhaan Allah la hendaknya terutamanya bab didikan terhadap anak².





Kak Kiss:
Oh.. daku sangat risau memikirkan bab sekolah Syafiah ni. Tambah lagi fikir cabaran mendidiknya.





Jiey^Mien:
Tak de yang lebih membahagiakan selain daripada menjadi rapat dan berdampingan dengan anak².





Confession of a Coffeeholic Mama-Miya:
Indeed. Dia memang agak chubby tambah kalo ada mak.





ieda:
Salah satu sebab yang bagus untuk anta anak kat sekolah berbeza = dia orang berdua boleh belajar perkara berbeza di antara satu sama lain.





sue79:
Syafiah memang dah lama boleh duduk atas kerusi. Tapi kena bantu le.





| Krsty Pinky |:
Tu la.. dengar cerita Mawar dah makin kurus. Bebudak ni biasalah. Ada masa naik, ada masa turun. Jangan tak nak makan terus udah la.

DeLLa said...

sy faham la kak sue..kalo kak sue tak blogwalking..tp jgn la senyap trs tak berblog..nnti sy tertanya2 apa hal si comel tu...blog kak sue ni bg kekuatan buat sy & semua org...inspired!& kawan sy juga bakal lahirkan anak yg mungkin ade serious problem..sy srh dia tgk blog kak sue & belajar memamhami ketabahan kak sue.jg stop blog ok..nnti sy babab!

suealeen said...

DeLLa:
Rasa seronok bila dapat berkongsi pengalaman walau pun sesungguhnya akak taklah setabah mana. Ruang untuk rasa ragu² tu akan wujud sekali-sekala. Yang kuat dan baik itu datang dariNya.

Untuk kawan DeLLa & sesiapa yang membaca coretan akak ni, sesungguhnya hidup ini terlalu singkat. Sesuatu yang berlaku mesti ada hikmah di sebaliknya. Kalau tidak dibuka hijab di sini, mungkin saja di sana. Percayalah bahawa sesuatu yang dianggap sukar pada mulanya, pada satu tahap akan bertukar kerana bila kita mengubah perspektif dari negatif kepada positif, maka kesulitan akan dianggap sebagai satu anugerah.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin