May 5, 2010

Sudah 3 tahun berlalu....

Sedar tak sedar rupa-rupanya telah 3 tahun saya menjadi blogger. Dari seorang blogger tegar di Tangan Yang Menghayun Buaian dengan isu-isu semasa yang panas, sehingga saya memperlahankan rentak menikmati kehidupan sebagai seorang ibu kepada seorang anak yang istimewa. Ya, sesungguhnya dia telah mengubah pandangan saya tentang kehidupan dari sisi yang berbeza.

Saya mula menulis tentang pandangan saya di TYMB pada 9 April 2007. Semasa itu saya masih berkerja. Saya hanya berblog selepas waktu berkerja. Mencoret pada mulanya tentang pengalaman-pengalaman yang kosong dan kurang memberikan manfaat kepada masyarakat.

Dulu ketika saya tidak berkerja, saya sering mengikuti kakak saya ke markas. Membantu semampu saya. Namun apabila masuk ke dunia pekerjaan, dunia itu seakan saya tinggalkan dan saya tidak mampu membantu seperti masa dulu. Rugi. Langsung saya mula memberikan pandangan-pandangan saya dalam isu semasa sehingga blog saya disenaraikan (masih disenaraikan) di Beras Padu & Beras Terpilih. Saya amat berterima kasih kepada saudara Sebol.

Sejak dari itu, saya kurang berbicara tentang peribadi kerana agak malu untuk ditatapkan di kalangan blogger handalan seperti ABO (politik banjar - saya mengenali saudara ABO ni secara peribadi), saudara Sebol, Kak Jie, saudara Knizam, saudara Jingga Studies (doktor mata), saudara me (yang kini telah berbulan juga berhenti menulis), kak Silversarina (antara pengunjung terawal blog saya), NurAflah, YB Idham Lim, kawan-kawan dan jiran-jiran saya di SU.net, saudara ASR (yang dulunya berada di UK, kini dah pulang ke tanahair), kak Ija (masih berada di Australia), saudara Deo, Umaralfateh, dll. Di sana juga saya kenali Aboo (unpublishednotes) sehingga akhirnya berkawan rapat dengannya. Saya amat gemarkan cara Aboo menulis namun sayangnya dia juga memilih untuk berdiam diri dengan isu-isu semasa. Mungkin saja dia amat sibuk berkerja.

Kini telah hampir beberapa bulan saya 'melarang' diri saya dari berbicara tentang isu semasa yang panas. Blog itu kini sepi. Saya masih mengumpul kekuatan untuk mencari bahan ilmiah untuk dikongsikan di blog itu.

Sebaliknya, saya hanya tumpukan perhatian saya pada blog A Journey of Amazing Syafiah. Idea membuat blog ini muncul apabila saya amat sukar mencari maklumat mengenai penyakit Syafiah dan ada pembaca yang mencari maklumat mengenai perkara tertentu. Blog mengenai insan istimewa memang ada tapi selain menceritakan tentang perasaan, yang menceritakan secara berilmiah amat kurang sekali.

Jadi kenapa saya tidak spesifikkan blog itu seperti sekarang ini, menceritakan perasaan bersama-sama dengan pautan-pautan yang berkaitan? Maka itulah sebabnya lahir Amazing Syafiah, yang mana cerita asalnya diceritakan di dalam blog TYMB. Semua ceritanya saya pindahkan ke sini. Dan saya perlu berblog secara dwibahasa kerana ada pembaca blog ini berasal dari luar negara seperti Sarah (antara pengikut blog ini yang terawal) dari Australia. Sarah mempunyai anak bernama Violet.

Ia masih lagi menyumbang kepada ummah secara berilmiah, insyaAllah. Namun melalui cara lain, dengan memberikan kesedaran bahawa wujud individu-individu istimewa dan penyakit yang berkaitan. Semoga dengan pendedahan yang diberikan dapat memberi suntikan semangat kepada golongan yang sama-sama mengharungi pengalaman yang serupa. Tak lupa juga memberi semangat kepada insan lain yang membaca kisah kami. Jika ada yang tersentuh dengan semangat juang Syafiah, alhamdulillah, blog ini berjaya mencapai sasaran objektifnya.

Kini nama blog ini telah pun bertukar nama ke Amazing Syafiah & Co. Ia refleks kepada kehidupan Syafiah yang bukan hanya berkisar dan fokus kepada dirinya sahaja, akan tetapi kehadirannya juga memberi kesan kepada orang-orang di sekelilingnya. Terutamanya saya sendiri, ayahnya dan adik-beradiknya yang lain. Mungkin juga kepada kawan-kawan kami.

Halangan-halangan berblog ni tetap ada dari segi teknikal mahu pun dari segi emosi saya sendiri. Dari saya mula berkerja sehinggalah saya menunggu untuk dipasangkan streamyx selama beberapa bulan di rumah. Kemudian memakai pula streamyx bersama jalur lebar Maxis kepunyaan Aboo. Hingga kini pula saya telah membeli komputer riba. Pembelian komputer riba ini adalah gara-gara desktop saya yang kerap dihantar ke kedai untuk dibaiki dari bulan Disember hingga ke April. Saat ini desktop tersebut telah pun ditukar jantung hatinya kepada yang lebih baik, alhamdulillah.

Itu belum diceritakan tentang gangguan emosi. Jika dulu, blog ini mampu dikemaskini sehari 2 kali tapi kini ia seolah sesuatu yang mustahil. Adakalanya idea datang mencurah-curah, tatkala saya melakukan kerja tapi apabila tiba di hadapan komputer, idea hilang begitu saja. Kadangkala pula idea telah ada tapi apabila menaip, tulisan tersebut akan dipadam berkali-kali.

Di kesempatan ini juga, saya memohon maaf atas keterbatasan saya. Saya akui saya amat suka membaca tapi sangat-sangat jarang meninggalkan jejak. Tidak kira blog siapa - blog otai-otai di Beras Padu/Terpilih mahu pun blog-blog kawan terutamanya kawan-kawan RH, mahu pun blog-blog rakan blogger lain yang saya terjah sendiri. Masa amat membatasi. Selebihnya saya ber-facebooking. Di sana, saya juga saya sebagai insan yang lemah tidak dapat menerjah ke dinding kawan-kawan saya satu persatu. Saya akui, membuat jaringan sosial amat saya sukai. Bersahabat walau pun tidak mustahil tapi adalah sukar. Tapi kalau sekali bersahabat, saya akan terus mengingati dan merindui.

Sama ada berblog atau ber-facebook, ke semuanya diharap mencapai sasaran yang baik. Yang penting perkongsian selama 3 tahun dan seterusnya ini dapat memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat apatah lagi sekiranya diamalkan, insyaAllah.

Sesetengah blogger yang seangkatan dengan saya mungkin saja suka mempertimbangkan statistik-statistik blog. Mencongak-congak trafik yang diterima setiap hari. Dan mungkin saja mengejar ranking di Alexa mahu pun di Technorati serta pengikut paling ramai. Namun bagi saya itu bukan sasaran lagi. Sasaran saya hanya berkisar tentang penerimaan masyarakat tentang golongan istimewa dan memberi kesedaran tentang wujudnya istilah-istilah perubatan yang tertentu. Dan ada idea-idea berblog saya wujud dengan kata pencarian pembaca. Sungguh pun begitu, saya amat berterima kasih kepada semua pembaca dan pengikut blog ini. Sokongan kalian amat saya hargai.

Moga masyarakat kita akan terus celik tentang perubatan, cara menghadapinya dan terutamanya cara untukk masyarakat biasa di luar sana berdepan dengan golongan istimewa. Agar tiada lagi mata-mata pelik melihat anak-anak ini. Agar mereka menerima golongan ini seadanya, tidak kira yang masih meniarap, terbaring mahu pun sudah mengorak langkah, dan melihat pengalaman ini dari aspek yang berbeza.





5 comments:

a d r e y n i e e l i s y a said...

wah..
dah 3 thn ea..
lama dh blogging ea..

saya x sampai stahun lagi neyh..
huhu

Kujie said...

Salam Sue,

3 tahun - macam² yang kita kongsi sepanjang waktu tersebut

moga akan bertambah setahun, dua tahun dan bertahun2 lagi..Insyaallah

Lady of Leisure said...

keep blogging kak sue, semoga dengan berblog ni kita boleh berkongsi ilmu selain memanjangkan silaturrahim..

aboo said...

cool! hahha

suealeen said...

a d r e y n i e e l i s y a:
Moga terus menulis. Thanks for dropping by.





Kujie:
InsyaAllah.. akak lagi lama dari saya.





Lady of Leisure:
Ye... moga makin kuat ikatan persahabatan kita.






aboo:
Bila nak aktif balik, bro? Bz je memanjang.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin