Saya mempunyai 4 orang sahabat karib (tidak termasuk lelaki seperti Atan). Sehingga kini kami masih berhubungan sesama sendiri. Di antara 4 orang ini pula, salah seorangnya K’own, teramat rapat dengan saya. Kami masih keluar bersama walau pun setelah saya berkahwin.
Oh ya, cerita bab keluar bersama orang lain setelah berkahwin ni mengingatkan saya pada satu hari, di mana ada seorang telemarketer telah pun menelefon ke rumah. Telemarketer ini menelefon bagi pihak P*l*c* of the G*l*e* H*r*s*s. Dia menerangkan yang dia mendapat nombor telefon rumah saya kerana saya menyertai satu peraduan di MATTA Fair.
Dia menyoal saya begini:
Telemarketer : Saya andaikan puan pergi ke MATTA Fair bersama suami puan.
Saya : Eh! Tidaklah... saya bersama dengan adik saya.
Telemarketer : So, adakah puan masih bersama dengan suami puan?
Saya : Masihlah. Kenapa tanya soalan macam tu ye?
Telemarketer : Ye lah... kebiasaannya seorang isteri akan pergi ke mana pun dengan suaminya.
Dalam hati, “Isk! Apa la punya biadap soalan begitu. Kalau suami dah izin, apa ade hal. Bukannya aku pi buat maksiat pun.” Pergi ke PWTC, habis jelajah dan terus balik. Lagi pun adik saya sendiri pun kawan baik saya juga. Alahai tipikalnya... tapi saya tidak meluahkan rasa begitu secara terus. Saya terus melayan telemarketer tadi dan mengawal apa yang saya rasa.
Tak penting untuk saya luahkan pun. Saya bukannya muda lagi untuk berdesing telinga dan menyirap darah. Sikap saya mesti di bawah kawalan saya. Bukan orang lain.
Sebelum terlupa, telemarketer tersebut adalah seorang lelaki.
Berbalik kepada cerita K’own. Kedua-dua kami amat meminati warna coklat dan apa saja makanan yang berasaskan coklat. Contohnya macam kek dan juga aiskrim. Dahulu ketika bersekolah, kami sering membawa sudu kecil di dalam beg. Tujuannya, untuk makan aiskrim di dataran belakang stesen bas Parit Buntar. Kami akan membeli aiskrim dalam bekas sederhana dan menghabiskan ia di situ juga.
Selain daripada itu, entah pada hari raya tahun bila saya pun tak ingat, kami sama-sama menghadiahkan sepasang baju kurung mempunyai warna coklat sesama sendiri. Saya membeli padanya baju siap berjahit, tapi dia menempah baju kepunyaan saya. Sehingga kini bajunya menjadi baju kegemaran saya walau pun di bahagian tangannya sedikit labuh.
K’own yang saya kenali juga amat meminati cerita komik dan sanggup membaca novel berbahasa Inggeris yang tebal-tebal halamannya. Ketika cerita Lord of the Ring ditayangkan, dia sanggup turun dari Lenggong ke KL semata-mata mencari novel-novel tersebut. Di sini ternyata kami berbeza sungguh pun saya juga meminati komik. Antara kegemarannya yang lain ialah melukis watak komik.
Saya masih ingat dia ada menyebut, “Selagi aku tak jumpa dengan seseorang yang rupa dan perwatakannya sama seperti Biliswira, aku takkan kahwin”. Hahaha... punyalah terpengaruh dengan watak tu. Sampaikan suami pun nak cari seperti Biliswira. Tapi suaminya kini tidak seperti Biliswira langsung. Tapi wallahu’alam...
Mesti kawan-kawan tertanya kenapa tiba-tiba saya berbicara tentang K’own. Semestinya bersebab. Sebabnya baru-baru ini saya bertemu dengannya pula di facebook. Dan sebab yang paling utama hari ini ialah saya membuat kek coklat lagi! Alangkah seronoknya kalau K’own ada bersama ‘melantak’ kek yang saya buat. Saya rasa mesti dia sengih sendirian membaca catatan ini. Apalah kawan aku ni... buat kek pun boleh teringat kat aku. Wah... mesti hatinya kembang berbunga.
Kek ni berevolusi sedikit hari ini. Saya mencampurkan 2 sudu teh nescafe ke dalamnya.
2 comments:
salam k sue,
sy pun penah dpt call drpd telemarketer gitu juga...dia kata dpt drpd pameran MIHAS ... agaknya borang soalselidik/info ringkas ttg pelawat yg kita tulis2 tu diorg manipulate bg kat pihak lain utk marketing strategi kot...ermmm
sz | m.a.s.s:
Akak memang masuk peraduan anjuran hotel tu. So, masa dia perkenalkan diri memang tak terkejut sangat. Dia orang mesti ada marketing team sendiri tu.
Post a Comment