Oct 14, 2010

Adakah anak istimewa layak untuk menerima bantuan zakat?

Ramai berpendapat bahawa anak-anak istimewa layak untuk mendapat bantuan zakat. Hakikatnya bukan begitu. Golongan ini tidak termasuk dalam mana-mana 8 asnaf yang sedia ada. Ramai yang tidak begitu mengetahui mengenainya.

Dari laman e-zakat.com.my:

Zakat akan diagihkan kepada beberapa asnaf. Asnaf-asnaf tersebut ialah:

1. ASNAF FAKIR
Fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya untuk memenuhi keperluan dirinya dan tanggungannya termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain.

2. ASNAF MISKIN
Miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta dan hasil usaha (pekerjaan) yang halal dan layak dengannya tetapi masih tidak mencukupi untuk menanggung keperluan dirinya dan tanggungannya.

3. ASNAF AMIL
Orang yang dilantik/ditauliahkan oleh Sultan atau Naibnya untuk penyelenggaraan hal-hal zakat.

4. ASNAF MUALLAF
Orang yang baru memeluk Islam iaitu "orang yang dijinakkan hatinya" dengan diberi bantuan supaya mereka teguh mencintai Islam.

5. ASNAF RIQAB
Iaitu hamba mukatab yang ingin memerdekakan dirinya.

6. ASNAF GHARIMIN
Orang Islam yang berhutang untuk memenuhi keperluan asasi bagi permasalahan diri atau keluarga tanggungannya atau orang yang berhutang untuk menyelesaikan masalah masyarakat dan memerlukan:
  • Orang yang berhutang itu tidak mampu menjelaskan hutangnya.
  • Hutang itu hendaklah dalam perkara taat yang diharuskan syarak.
  • Hutang telah sampai tempoh untuk dijelaskan.

7. ASNAF FISABILILLAH
Fisabililah ialah tiap-tiap perbuatan / perkara yang menjurus kepada keperluan dan masalah untuk menegakkan syiar Islam.

8. ASNAF IBNI SABIL
Orang Islam yang kehabisan perbelanjaan dalam perjalanan atau orang yang hendak memulakan perjalanan sedangkan ia tidak mempunyai belanja dengan syarat:
  • Ia mengembara dari negeri tempat tinggalnya.
  • Pengembaraan diharuskan oleh syarak.


Kami pernah ditawarkan bantuan 'zakat' oleh sebuah syarikat. Kata wakil dari syarikat tersebut, bantuan tersebut akan disampaikan oleh DYM Sultan Selangor dalam sebuah jamuan semasa bulan puasa beberapa tahun yang lepas. Namun oleh kerana beliau telah menyatakan bahawa ianya adalah bantuan zakat, kami terpaksa menolak kerana kami sedar bahawa anak kami tidak layak untuk menerimanya.

Kes ini akan berlainan sekiranya kedua ibu-bapa anak tersebut jatuh dalam kategori miskin. Maka bantuan zakat tersebut dibolehkan atas kapasiti mereka sebagai golongan miskin.

Memang saya akui bahawa rezeki anak istimewa ini sangat lebat, tapi penilaian terhadap bantuan itu perlu. Sekiranya bantuan tersebut dibuat secara sukarela tanpa meletakkan sebarang istilah terhadapnya, contohnya diniatkan untuk hadiah/sedekah, maka ibu bapa anak tersebut bolehlah menerima bantuan itu.

Syarikat suami juga pernah meminta pandangan suami tentang perkara ini. Sekiranya kami layak, pihak syarikat ingin memotong sejumlah bahagian kecil zakat tahunan syarikat kepada MAIS. Dari awal lagi suami bertegas bahawa kami tidak layak, tapi tidak salah untuk syarikat bertanya terus kepada MAIS. Jawapannya memang menyebelahi suami apabila MAIS memberikan reaksi yang serupa. Akhirnya pihak syarikat menyumbang wang tersebut sebagai hadiah kepada kami.

Oleh yang demikian, sekiranya ingin menerima sumbangan atau memohon sumbangan zakat, pastikan kita berada dalam mana-mana asnaf di atas. Tidak kiralah permohonan/pemberian tersebut dibuat/diterima di pejabat Lembaga Zakat, mahu pun dari syarikat dan orang perseorangan. Dan janganlah pula berasa hampa kerana tidak menerimanya. Ini adalah kerana zakat bukanlah untuk kita & jika kita menerimanya juga atas kapasiti anak kita anak istimewa, adalah dikhuatiri bahawa kita akan termakan hak orang lain yang lebih layak.





2 comments:

mak encik | SZ said...

baru faham...
maksudnya kena tengok juga "kemampuan" ibubapa anak istimewa tu ye...bukan semberono otomatik dapat/terima...baguslah k sue & hasben mmg betul2 "selidik" hal ehwal gitu...

Sue.Aleen said...

sz | m.s.s :
Suami akak memang particular bab menerima sumbangan ni. Apahal pun akak rujuk kat dia. Even co. pun rujuk kat dia jugak sekali-sekala.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin