Mastura
Mastura suatu masa dulu.
Ibu : Cepatlah habiskan kerja sekolah ni. Banyak page lagi ni.
Mastura : Ala... sikit je ni, ibu. Bukannya banyak.
Bersahaja benar kata²nya. Seolah membuat kerja sekolah itu adalah sesuatu yang menyeronokkan. Mungkin juga disebabkan oleh cara saya menerima tugasan anak tersebut dan mengubah waktu² yang agak membosankan itu menjadi suatu di antara saat yang menceriakan. Saat ibu-anak yang menyeronokkan.
Pernah pada suatu hari ketika dia pulang dari sekolah saya menjadi terlalu mengantuk. Sampaikan belum sempat Adam pergi ke sekolah beberapa minit, saya terus terlelap. Ketika saya bangun semula, Mastura juga tertidur di sebelah saya di atas kerja sekolah matematiknya. Semua telah habis dijawab. Jawapannya betul. Hati saya tersentuh kerana saya tidak perlu lagi bersusah-payah menyuruhnya seperti dahulu. Baju seragamnya juga telah ditukar.
Adam
Adam diriba oleh Alif (anak saudara) bersama adiknya - Anisa.
Wajah Adam baru-baru ini.
Saya memandang rendah terhadapnya sebelum ini. Hati sering tertanya-tanya, bagaimanakah dia di sekolah? Bolehkah dia menulis dengan 'firm'? Sebelum ini dia tidak pandai meniru objek, huruf atau pun angka. Tapi apa yang saya fikir tidak sama dengan apa yang berlaku. Sesungguhnya dia sangat cepat belajar. Dan bacaan dan doa tidak pernah lari dari bibirnya. Kadangkala doa yang dia baca tidak saya ketahui. Sungguh, saya jahil. Dan sedikit demi sedikit saya juga tergerak hati untuk belajar dan terus memperbaiki diri.
Tanpa disuruh seperti kakaknya juga, dia sering membuka dan membaca Iqra' sendiri. Tanpa malu dan segan, tak kira dengan siapa dia tunjukkan Iqra' itu semata-mata untuk belajar. Tak kira masa, tak kira tempat. Adakalanya di dalam gelap.
Syafiah
Waktu bersama si kakak & adik.
Baru-baru ini selepas pulang dari bercuti di Port Dickson, Syafiah demam, batuk dan selsema. Ketika sakit, ragamnya masih belum kelihatan. Namun bila beransur pulih dia tidak lagi berminat untuk minum susu melalui botol. Kami perlu melalui detik sukar kerana perlu mencari alternatif kepada botol. Kami mencuba syringe, straw dan sudu. Hanya melalui kaedah tersebut dia mahu minum susu. Sejam jugalah masa diambil untuk dia menghabiskan secawan susu. Nampak leceh, tapi caranya itu menyebabkan kami meluangkan lebih masa bersama-sama.
Keinginannya untuk minum susu melalui botol kembali semalam. Saya sendiri berasa agak gusar kerana berat badannya menyusut sedikit selepas demam itu, tidak seperti selalu. Bila minum susu melalui botol ini, jadual penyusuan & pemakanannya kembali normal. Alhamdulillah.
Dan sejak demam itu, dia agak sensitif terhadap persekitaran. Tidak suka ditinggalkan bersendirian. Pandai menunjukkan perasaan dengan menangis. Sendu sehingga meleleh air mata. Sebak pula mendengarnya. Dia suka berada bersama orang yang dia kenali. Jika tidak dikenali, dia akan bersuara seperti tidak puas hati/marah. Begitu juga terhadap suara yang tinggi. Reaksinya seolah seperti takut dimarahi.
Oh ya... sejak bertukar ahli terapi lain, Syafiah juga semakin mahir mengawal kepalanya apabila berada dalam posisi duduk. Ahli terapi Syafiah kali ini agak tegas. Dan saya sukakan hasilnya. InsyaAllah bulan depan kami akan diajar untuk menguatkan tulang belakangnya.
Moga mereka akan terus istiqomah dalam apa jua yang baik yang mereka lakukan kini, ameen.