
Saya tidak menyangka bahawa cerita² saya mengenai Sridar mendapat perhatian ramai. Bukan niat saya untuk bercerita tentang keluarga orang. Tidak sama sekali. Tapi cerita Sridar membangkitkan dan memberikan semangat serta inspirasi dengan cara yang tersendiri. Cerita yang perlu dijadikan iktibar.
Cerita tentang seorang kanak² yang berjuang untuk meneruskan hidup yang sementara bersama-sama dengan keluarganya. Pada akhirnya Tuhan lebih menyayangi, Dia meminjam dan mengambilnya semula. Kehadirannya walau pun seketika tapi memberikan kesan yang mendalam pada semua pihak. Malah saya menganggap dia adalah seorang khalifah mengikut caranya yang tersendiri bagi menyedarkan umat manusia yang seringkali lalai.
Bahawa hidup perlu diteruskan dengan segala macam kepayahan. Walau pun penyampaian dan kesan itu adalah melalui nyawanya sendiri. Ibu bapanya juga terlalu istimewa. Tidak pernah membenarkan tangan² manusia itu mencabut nyawa si anak. Biarlah.. biarlah Tuhan yang mencabut nyawanya sendiri.
Sehari yang lepas saya berkesempatan berbicara dengan sahabat baru. Katanya salah seorang kawannya berputus asa dengan kehidupan dan hampir cuba membunuh diri. Namun, setelah dia mengkhabarkan tentang perjuangan Sridar, kawannya menitiskan air mata. Seakan terjaga dari lena yang panjang. Alhamdulillah, mesej yang Allah swt berikan melalui anak kecil itu sampai kepadanya. Lihatlah kesannya.
Al-Baqara [2:164] : Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.
Saya pernah berkata pada seseorang, "Alhamdulillah, Allah menyediakan saham buat kami di akhirat". Namun dibalas dengan, "M harap tak payahlah lagi korang melalui semua ini". Ah! Teruk sangatkah? Kenapa yang empunya diri berasa tenang tapi orang lain pula yang perlu bimbang? Saya tidak pernah menganggap kehadiran Syafiah sebagai satu beban. Malah dia merupakan satu kurniaan yang tidak Allah swt berikan pada sesetengah yang lain. Saya gembira dan berlapang dada dengan anugerah ini. Malah kami tidak pernah bertanya, "Kenapa mesti kami?". Saya yakin ada sesuatu menanti kami. Jika tidak di sini, insyaAllah di akhirat pada suatu masa dan ketika nanti.
Sesungguhnya kedatangan seorang manusia ke muka bumi ini tidak akan sia². Setiap daripada kejadian itu mengandungi hikmah yang amat besar secara terang mahu pun tersembunyi. Hikmah juga hadir dalam bentuk yang lain, malah juga melalui seorang kanak² mahu pun binatang dan sebagainya. Cuma manusia yang seringkali alpa dan lalai.
Fikirkanlah dan ucapkan Maha Suci Tuhan yang Maha Besar. Bersyukurlah pada yang masih hidup. Kita masih diberikan peluang untuk hidup, mengambil iktibar, bertaubat dan kembali kepadaNya.
p.s. : Kick start entry lepas lama berhibernasi. :D
Jangan manjakan anak-anak kamu dan ajari mereka dgn hidup susah - sabda Nabi. Mrk akan lebih berdikari, punya daya tahan dan berjiwa kental. Untuk menjadi pejuang tidak akan lahir dr jiwa kemanjaan dan penuh kemewahan.
Memanjai anak2 secara berlebihan dan memberi kemewahan hanya akan menyebabkan lemah jiwa dan sombong.
Untuk mendidik jiwa agar tidak sombong Nabi menyuruh kita bergaul dgn org2 miskin dan susah. Dpt melahirkan rasa syukur dan ingin membantu insan yg lain yg di dlm kekurangan.